Pages

Monday, January 9, 2012

TEKNIK DAN KAEDAH YANG DIGUNAKAN

Di dalam Kursus Mendorong Pelajar Corot, Ketua Projek Tim Hadith Psikologi, Puan Ainon Mohd. telah mencadangkan beberapa teknik dan kaedah yang digunakan untuk mendidik ummah melalui 13 buah hadis yang telah dikaji. Teknik ini diadaptasikan daripada hadis nabi yang menceritakan tentang beberapa perlakuan yang ditunjukkan baginda Nabi Muhammad SAW . Antara teknik tersebut ialah teknik memberi ganjaran, teknik memuji dan memberi gelaran yang baik serta teknik meningkatkan self esteem.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin ummah telah menggunakan banyak pendekatan dalam melahirkan ummah yang bukan sahaja berwibawa malah mempunya ciri ciri akhlak yang terpuji. Sebagai pendidik, kita harus menanamkan sifat akhlak yang mulia terhadap murid agar mereka bukan sahaja cemerlang akademik malah sahsiah mereka menjadi lebih terpuji.Dalam mendekati masyarakat jahiliyah pada waktu itu, Nabi Muhammad SAW telah menggunakan beberapa pendekatan yang sangat mengesankan antaranya:-

1) Dengan menjawab soalan. Yakni, orang bertanya kepada Rasulullah lalu baginda menjawabnya. Contohnya seperti tersebut dalam hadis:

Daripada Nauwas bin Sam'an (Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang kebajikan dan dosa), Rasulullah bersabda, "Kebajikan itu adalah akhlak baik dan dosa itu ialah apa yang tidak disenangi di hati engkau dan engkau benci kalau manusia melihatnya." (Riwayat Muslim)

2) Adakalanya Rasulullah sendiri mengajukan soalan, tetapi baginda juga yang menjawabnya. Ia bermaksud untuk keseronokan mendengar.Contohnya terdapat dalam hadis berikut:

Ibu segala perintah itu ialah Islam, tiangnya ialah sembahyang, dan ketinggian bonggolnya ialah jihad.

Kadang-kadang, Rasulullah membuat bandingan dan lain-lain. Teknik-teknik yang dibuat yang diberbagaikan itu ialah untuk lebih menarik perhatian dan kefahaman. Dan biasanya percakapan Rasulullah itu tepat, ringkas, padat dan tidak menjemukan.

RASULULLAH SAW mendidik dengan sikap dan akhlak. Apa yang baginda katakan, baginda laksanakan. Seluruh kandungan Al Quran itu ada pada diri baginda Rasul, lahir atau batin. Sehingga isterinya Siti Aisyah Ummul Mukminin mengatakan Rasulullah itu ialah 'Al Quran yang berjalan?

.Justeru, guru harus melakukan dulu apa yang hendak diajar dan dididik, sebelum diajarkan kepada muridnya.Guru harus menjadi role model kerana murid menerima impak yang besar di atas setiap perlakuan guru. Sebelum melakukan dan menjayakan teknik ini, saya harus memperbetulkan kelemahan diri dengan bermuhasabah serta membetulkan niat kerana Allah.

Di antara firman-firman ALLAH mengenai hal ini ialah: Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat. Amat besar kebencian di sisi ALLAH bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan. (As Saff: 2-3)

GURU HARUS MENJADI SEORANG YANG PEMAAF

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin (terjemahan) jilid 3 ada menyenaraikan ayat-ayat Al Quran tentang akhlak ini dalam tajuk: "Pengajaran Pengadaban Oleh ALLAH Taala Akan Kekasih dan Pilihan-Nya Muhammad SAW dengan Al Quran." (Hal. 611 - 612).

Petikannya: Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh. (Al A'raf: 199)

Akhlak baginda Rasulullah SAW ialah pemaaf, menyuruh berbuat baik, adil, membantu kaum kerabat, meninggalkan perbuatan mungkar dan durhaka, sabar, lapang dada, tidak membalas kejahatan, menahan marah, berbaik sangka, tidak mengumpat, dan lain-lain lagi. Sebagai guru biasa, kita tidak dapat lari daripada sifat sifat buruk ini. Sebagai manusia biasa yang dibebani dengan pelbagai mehnah serta dugaan, kita tidak dapat lari daripada menjadi lemah. Justeru saya memohon keampunan dari ilahi agar dapat meneruskan usaha kecil ini tanpa ada sebarang perasaan buruk yang membelenggu. Saya hanya mahu menjadi insan yang terbaik dan tidak memerlukan sebarang pengiktirafan diatas segala yang dilakukan menerusi aplikasi kaedah ini. Mudah mudahan Allah memberikan taufik dan hidayah kepada kita semua.


0 comments:

Post a Comment