Pages

Tuesday, January 10, 2012

AURA POSITIF MENGELILINGI SAYA

Mahu mendorong pelajar yang corot...saya harus bermula dari diri sendiri. Selaku guru yang corot juga, saya adalah model kepada murid murid saya. Kebelakangan ini saya dapat merasai aura yang positif mengelilingi saya. Saya menjadi bersemangat untuk masuk ke kelas. Awal awal lagi saya sudah terpacak walaupun masih ada guru lain di dalam kelas. Hadir ke Kursus Mendorong Pelajar Corot adalah kehendak hati dan bukan dipaksa paksa. Tambahan pula ianya disampaikan oleh individu yang saya kagumi. Kali ini saya perlu mengubah diri kalau mahu mengubah orang lain. Persiapan saya perlu rapi. Senjata perlu cukup.

Semalam saya membaca saranan Tuan Fuad Latip supaya berwuduk dan meggalakkan murid berada dalam wuduk ketika belajar. Saranan ini akan saya gunakan untuk diri sendiri. Saya akan cuba sentiasa berada dalam keadaan wuduk semasa mengajar. Saranan ini sanagt mudah dilakukan dan tidak perlu mengeluarkan belanja pun. terima kasih Tuan Fuad Latip. Mudah mudahan Allah memberikan keberkatan terhadap hidup tuan dan dilimpahi rezeki serta berada dalam golongan insan yang mendapat syafaat.
Ya saya merasa sedikit perubahan pada diri saya. Semangat saya agak tinggi. Mungkin semangat tahun baru gamaknya. Idea ketika mengajar mencurah curah datang. Saya akui sebelum ini saya agak bekeng dan cengei. Kalau gagal mengawal kelas, suara saya mula meninggi. Tangan pula terasa gatal sahaja mahu naik. Namun adakalanya garang juga penting terutama ketika mengawal kumpulan besar. Tetapi syukurlah saya terasa sangat positif. Saya perlu kekalkan aura ini selama mungkin. Kadang kadang perubahan akan disalaherti oleh orang lain terutama rakan sejawat. Tetapi saya tidak mahu pandangan insan lain menggugat semangat saya. Saya hanya mahu melakukan tugas saya dengan kadar terbaik. Saya bukan mahu dipuji atau diberi ganjaran kerana apa yang diterima sekarang cukuplah untuk memberi nafkah kepada keluarga dan tuhan juga memberikan rezeki sampingan yang sangat lumayan kepada saya. Saya mahu menjadikan profesion ini sebagai sebahagian dari kehidupan dan menjadi bekalan untuk alam selepas ini.

Tetapi terlalu awal untuk mengukur kadar kejayaan. Saya perlu fokus dan bersedia menerima segala cabaran yang mendatang.

FATHANAH

Hari ini pertama kali saya masuk ke kelas Kumpulan Fathanah(Bukan nama sebenar kelas tersebut). Kumpulan ini mempunyai 16 orang murid paling corot yang berumur 11 tahun. Kumpulan murid ini sangat lemah dari segi 3M(Membaca,Menulis dan mengira) serta tergolong di dalam kumpulan Pemulihan. Ada beberapa murid yang pernah saya ajar iaitu 4 orang murid perempuan dan 3 murid lelaki. Selebihnya baru pertama kali saya mengajar mereka walaupun nama mereka sangat saya kenali.

Seorang murid lelaki bernama Adam(bukan nama sebenar). Beliau merupakan anak kepada seorang warganegara asing. Bapa beliau bukan warganegara Malaysia. Kalau melihat dari segi penampilan beliau, sangat menyedihkan. Beliau seolah-olah tidak dipedulikan oleh keluarga.Bajunya koyak dan berwarna kelabu kehitaman.Seluarnya tidak lagi berwarna biru tua. Semalam beliau mengaku kepada saya yang beliau tidak pandai menulis nama sendiri. Beliau menulis namanya sebagai 'Ayam' setelah ditipu oleh kakaknya. Saya ketawa.Apa yang baik tentang beliau ialah beliau jarang ponteng. Sering saja datang ke sekolah dan sentiasa mahu datang walaupun menipu ibu bapa beliau bahawa guru menyuruh datang kerana aktiviti pada waktu petang.Tahun ini beliau berbaju baru. Saya memujinya dengan mengatakan baju beliau sangat bersih dan berharap beliau dapat menjaga dengan baik.
Man(bukan nama sebenar) merupakan murid yang kekurangan dari segi kemampuan mental dan fizikal. Percakapannya masih telor dan tergagap gagap. Beliau tidak mampu pun untuk mengikat tali kasut sendiri tetapi sangat bersemangat. Apa saja permainan akan disertainya walaupun dia sering dibuli oleh rakan rakan. pernah juga disarankan kepada ibu bapanya untuk diletakkan dibawah kelas pendidikan khas namun dibantah oleh ibu bapanya. Bapa beliau bertegas bahawa anaknya memang normal. Kami sebagai guru menerima jua apa jenis murid atas nama tanggungjawab dan hak seorang rakyat untuk mendapat pendidikan percuma.
Minggu lepas juga ada murid baru mendaftar. Berketurunan Bumiputera Sarawak. Langsung tidak boleh berbahasa Melayu. Wah! sukarnya saya hendak berkomunikasi. Dan saya melayari internet untuk belajar sedikit sebanyak bahasa ibunda beliau bagi memudahkan komunikasi kami. Mudah mudahan saya dapat membantu beliau.
Kumpulan ini sangat mencabar. Saya bersyukur kerana dapat mengajar mereka dan diberi peluang ini. Tugas ini perlu dilaksanakan walaupun apa jua teknik digunakan. Teknik mendorong pelajar corot adalah teknik yang harus bermula dari dalam diri pendidik. Bukan sahaja untuk mereka mendapat A tetapi juga bekalan terhadap kehidupan mereka di kemudian hari. apa jua kaedah atau metod...pokoknya guru harus mengajar mereka dengan jujur dan ikhlas. Saya akan menerapkan teknik ini kepada kumpulan Fathanah dengan apa saja kemampuan yang saya terdaya. Sebagaimana harapan pihak pentadbir....Targetnya supaya mereka menguasai 3M tetapi harapan saya lebih menggunung..Mudah mudahan.

Monday, January 9, 2012

TEKNIK DAN KAEDAH YANG DIGUNAKAN

Di dalam Kursus Mendorong Pelajar Corot, Ketua Projek Tim Hadith Psikologi, Puan Ainon Mohd. telah mencadangkan beberapa teknik dan kaedah yang digunakan untuk mendidik ummah melalui 13 buah hadis yang telah dikaji. Teknik ini diadaptasikan daripada hadis nabi yang menceritakan tentang beberapa perlakuan yang ditunjukkan baginda Nabi Muhammad SAW . Antara teknik tersebut ialah teknik memberi ganjaran, teknik memuji dan memberi gelaran yang baik serta teknik meningkatkan self esteem.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin ummah telah menggunakan banyak pendekatan dalam melahirkan ummah yang bukan sahaja berwibawa malah mempunya ciri ciri akhlak yang terpuji. Sebagai pendidik, kita harus menanamkan sifat akhlak yang mulia terhadap murid agar mereka bukan sahaja cemerlang akademik malah sahsiah mereka menjadi lebih terpuji.Dalam mendekati masyarakat jahiliyah pada waktu itu, Nabi Muhammad SAW telah menggunakan beberapa pendekatan yang sangat mengesankan antaranya:-

1) Dengan menjawab soalan. Yakni, orang bertanya kepada Rasulullah lalu baginda menjawabnya. Contohnya seperti tersebut dalam hadis:

Daripada Nauwas bin Sam'an (Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang kebajikan dan dosa), Rasulullah bersabda, "Kebajikan itu adalah akhlak baik dan dosa itu ialah apa yang tidak disenangi di hati engkau dan engkau benci kalau manusia melihatnya." (Riwayat Muslim)

2) Adakalanya Rasulullah sendiri mengajukan soalan, tetapi baginda juga yang menjawabnya. Ia bermaksud untuk keseronokan mendengar.Contohnya terdapat dalam hadis berikut:

Ibu segala perintah itu ialah Islam, tiangnya ialah sembahyang, dan ketinggian bonggolnya ialah jihad.

Kadang-kadang, Rasulullah membuat bandingan dan lain-lain. Teknik-teknik yang dibuat yang diberbagaikan itu ialah untuk lebih menarik perhatian dan kefahaman. Dan biasanya percakapan Rasulullah itu tepat, ringkas, padat dan tidak menjemukan.

RASULULLAH SAW mendidik dengan sikap dan akhlak. Apa yang baginda katakan, baginda laksanakan. Seluruh kandungan Al Quran itu ada pada diri baginda Rasul, lahir atau batin. Sehingga isterinya Siti Aisyah Ummul Mukminin mengatakan Rasulullah itu ialah 'Al Quran yang berjalan?

.Justeru, guru harus melakukan dulu apa yang hendak diajar dan dididik, sebelum diajarkan kepada muridnya.Guru harus menjadi role model kerana murid menerima impak yang besar di atas setiap perlakuan guru. Sebelum melakukan dan menjayakan teknik ini, saya harus memperbetulkan kelemahan diri dengan bermuhasabah serta membetulkan niat kerana Allah.

Di antara firman-firman ALLAH mengenai hal ini ialah: Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat. Amat besar kebencian di sisi ALLAH bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan. (As Saff: 2-3)

GURU HARUS MENJADI SEORANG YANG PEMAAF

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin (terjemahan) jilid 3 ada menyenaraikan ayat-ayat Al Quran tentang akhlak ini dalam tajuk: "Pengajaran Pengadaban Oleh ALLAH Taala Akan Kekasih dan Pilihan-Nya Muhammad SAW dengan Al Quran." (Hal. 611 - 612).

Petikannya: Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh. (Al A'raf: 199)

Akhlak baginda Rasulullah SAW ialah pemaaf, menyuruh berbuat baik, adil, membantu kaum kerabat, meninggalkan perbuatan mungkar dan durhaka, sabar, lapang dada, tidak membalas kejahatan, menahan marah, berbaik sangka, tidak mengumpat, dan lain-lain lagi. Sebagai guru biasa, kita tidak dapat lari daripada sifat sifat buruk ini. Sebagai manusia biasa yang dibebani dengan pelbagai mehnah serta dugaan, kita tidak dapat lari daripada menjadi lemah. Justeru saya memohon keampunan dari ilahi agar dapat meneruskan usaha kecil ini tanpa ada sebarang perasaan buruk yang membelenggu. Saya hanya mahu menjadi insan yang terbaik dan tidak memerlukan sebarang pengiktirafan diatas segala yang dilakukan menerusi aplikasi kaedah ini. Mudah mudahan Allah memberikan taufik dan hidayah kepada kita semua.


POPULASI DAN SAMPEL KAJIAN

Populasi dan Sampel Kajian.

Saya tidak berhasrat untuk menggunakan kaedah yang digunakan oleh pengkaji kerana pendekatan yang saya gunakan hanyalah bersifat peribadi dan ingin dikongsi dengan khalayak. Justeru bahasa yang digunakan bersifat bahasa biasa yang bukan menggunakan laras akademik.

Sampel Kajian.

Saya akan menggunakan pendekatan ini terhadap murid murid saya secara tidak langsung dan bersifat natural. Oleh itu saya telah menjadikan 5 Kumpulan murid sebagai sample kajian iaitu 2 kumpulan murid pertengahan, 2 Kumpulan murid paling corot dan satu kumpulan yang mengandungi pelbagai tahap.

KUMPULAN SIDDIQ

Kumpulan ini dinamakan Siddiq kerana saya tidak mahu mendedahkan identiti sebenar individu dan kelas mereka. Kumpulan ini mengandungi 26 orang murid daripada kelas kelima. Murid ini berusia lingkungan umur 10 tahun dan berasal dari satu bangsa sahaja. Sasaran sebenar terhadap kumpulan ini ialah peningkatan terhadap subjek Bahasa Melayu.

KUMPULAN AMANAH

Kumpulan ini mengandungi seramai 23 orang murid daripada kelas ke 7 daripada 8 kelas yang berumur dalam lingkungan 10 tahun. Berasal dari satu kelompok bangsa yang sama. Sasaran kumpulan ini ialah peningkatan terhadap subjek Matematik.

KUMPULAN TABLIGH(bukan jemaah tabligh J)

Kumpulan ini merupakan kumpulan murid berumur 12 Tahun yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti bumiputera Sarawak yang bukan beragama Islam dan bangsa lain yang seramai 20 orang. Sasaran bagi kumpulan ini ialah membantu meningkatkan kebolehan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

KUMPULAN FATHANAH

Kumpulan ini mengandungi 16 orang murid berusia 11 tahun dan paling mencabar kerana kepelbagaian kaum serta mengandungi murid slow learner,murid hiperaktif serta tidak mempunyai kebolehan membaca dan menulis dengan baik. Sasaran saya ialah penggunaan teknik ini akan memberi implikasi positif kepada mereka dalam menguasai 3M

KUMPULAN ABU BAKAR

Saya memilih 10 orang murid yang akan menghadapi UPSR pada tahun ini. Murid ini mempunyai skil dan bakat dalam pelbagai bidang tetapi pencapaian akademik mereka agak sederhana. Justeru saya mahu mencuba aplikasi teknik ini dan melihat perkembangan mereka dari sudut pencapaian akademik serta sahsiah mereka.

Muqaddimah

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji pujian bagi tuhan semesta alam.Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga, sahabat dan tabiin.Mudah mudahan kita beroleh syafaat di akhirat kelak.

Blog ini diwujudkan khas sebagai salah satu usaha untuk mengaplikasikan teknik "Mendorong Pelajar Corot" yang saya hadiri pada 17 Disember 2011 anjuran PTS Consultant, sebuah syarikat milik PTS Sdn Bhd, sebuah syarikat penerbitan terulung di Malaysia. Saya bersyukur kerana berpeluang untuk menimba sekelumit ilmu yang diadaptasikan daripada kajian Tim Psikologi Hadith yang membuat kajian tentang hadith hadith Rasulullah SAW berkenaan Mengkaji Prinsip Psikologi, Strategi, Metod, Prosedur, Prioriti, Teknik dan Taktik Nabi Muhammad(sila rujuk Tim Hadith Psikologi )

Adalah dengan sesungguhnya saya ingin memaklumi khalayak pembaca bahawa saya hanya mencuba praktik sebahagian kecil metod yang disampaikan oleh Tim Hadith Psikologi berdasarkan kecetekan pengetahuan saya tentang ilmu ilmu hadith. Seandainya berlaku sebarang kontradiksi yang mengakibatkan berlaku salah fahaman maka ianya adalah berasaskan kepada kelemahan diri saya dan tidak berkaitan dengan kajian langsung yang dijalankan oleh pihak Tim Hadith Psikologi iaitu pihak yang berautoriti di dalam Kajian Hadith Psikologi ini.

Sekian, Salam Mahabbah

Muhammad Zahran
Danau Indah,Kuala Lumpur, Malaysia

Monday, January 10, 2011