Pages

Tuesday, January 10, 2012

FATHANAH

Hari ini pertama kali saya masuk ke kelas Kumpulan Fathanah(Bukan nama sebenar kelas tersebut). Kumpulan ini mempunyai 16 orang murid paling corot yang berumur 11 tahun. Kumpulan murid ini sangat lemah dari segi 3M(Membaca,Menulis dan mengira) serta tergolong di dalam kumpulan Pemulihan. Ada beberapa murid yang pernah saya ajar iaitu 4 orang murid perempuan dan 3 murid lelaki. Selebihnya baru pertama kali saya mengajar mereka walaupun nama mereka sangat saya kenali.

Seorang murid lelaki bernama Adam(bukan nama sebenar). Beliau merupakan anak kepada seorang warganegara asing. Bapa beliau bukan warganegara Malaysia. Kalau melihat dari segi penampilan beliau, sangat menyedihkan. Beliau seolah-olah tidak dipedulikan oleh keluarga.Bajunya koyak dan berwarna kelabu kehitaman.Seluarnya tidak lagi berwarna biru tua. Semalam beliau mengaku kepada saya yang beliau tidak pandai menulis nama sendiri. Beliau menulis namanya sebagai 'Ayam' setelah ditipu oleh kakaknya. Saya ketawa.Apa yang baik tentang beliau ialah beliau jarang ponteng. Sering saja datang ke sekolah dan sentiasa mahu datang walaupun menipu ibu bapa beliau bahawa guru menyuruh datang kerana aktiviti pada waktu petang.Tahun ini beliau berbaju baru. Saya memujinya dengan mengatakan baju beliau sangat bersih dan berharap beliau dapat menjaga dengan baik.
Man(bukan nama sebenar) merupakan murid yang kekurangan dari segi kemampuan mental dan fizikal. Percakapannya masih telor dan tergagap gagap. Beliau tidak mampu pun untuk mengikat tali kasut sendiri tetapi sangat bersemangat. Apa saja permainan akan disertainya walaupun dia sering dibuli oleh rakan rakan. pernah juga disarankan kepada ibu bapanya untuk diletakkan dibawah kelas pendidikan khas namun dibantah oleh ibu bapanya. Bapa beliau bertegas bahawa anaknya memang normal. Kami sebagai guru menerima jua apa jenis murid atas nama tanggungjawab dan hak seorang rakyat untuk mendapat pendidikan percuma.
Minggu lepas juga ada murid baru mendaftar. Berketurunan Bumiputera Sarawak. Langsung tidak boleh berbahasa Melayu. Wah! sukarnya saya hendak berkomunikasi. Dan saya melayari internet untuk belajar sedikit sebanyak bahasa ibunda beliau bagi memudahkan komunikasi kami. Mudah mudahan saya dapat membantu beliau.
Kumpulan ini sangat mencabar. Saya bersyukur kerana dapat mengajar mereka dan diberi peluang ini. Tugas ini perlu dilaksanakan walaupun apa jua teknik digunakan. Teknik mendorong pelajar corot adalah teknik yang harus bermula dari dalam diri pendidik. Bukan sahaja untuk mereka mendapat A tetapi juga bekalan terhadap kehidupan mereka di kemudian hari. apa jua kaedah atau metod...pokoknya guru harus mengajar mereka dengan jujur dan ikhlas. Saya akan menerapkan teknik ini kepada kumpulan Fathanah dengan apa saja kemampuan yang saya terdaya. Sebagaimana harapan pihak pentadbir....Targetnya supaya mereka menguasai 3M tetapi harapan saya lebih menggunung..Mudah mudahan.

0 comments:

Post a Comment